Barisan Pelakon Oh My English Villa Isabellaaa
Pada peminat rancangan siri komedi pendidikan Oh My English! (OME!), anda akan disajikan dengan sebuah lagi karya telefilem istimewa berjudul ‘Oh My English: Villa Isabellaaa!’.

Telefilem ini akan disiarkan pada 27 Disember 2014, jam 9 malam secara eksklusif di Astro TVIQ (Saluran 610) dan siaran serentak berdefinisi tinggi di Astro Maya HD (Saluran 135).

Oh My English: Villa Isabellaaa! merupakan telefilem ketiga daripada siri komedi pendidikan popular ini selepas Oh My Ganu! dan Oh My English – Hello America!.

Telefilem arahan Shamyl Othman ini merupakan satu karya dengan suntikan elemen misteri dan suspen ke dalam kisah yang berkonsepkan komedi pendidikan.

Masih menampilkan Mr. Henry Middleton (Zain Saidin) dan juga para pelajar kelas 4 Merah iaitu Jibam (Akhmal Nazri), Jojie (Nadiya Nisaa), Zack (Juzzthin) dan Mazlee (Zhafir Muzani) dalam menempuhi cabaran baru bersama Sarjan bin Mejar (Rahim Jalur) dan Cikgu Bedah (Sherry Al Hadad) yang pasti akan membuat anda tidak kering gusi dengan telatah mereka.

Emelda Rosemila Oh My English: Villa Isabellaaa!

Selain itu, telefilem kali ini bakal menampilkan pelakon wanita berkaliber iaitu Emelda Rosemila yang akan membawa watak sebagai seorang wanita misteri bernama Puan Tiana.

Terdapat juga penampilan istimewa daripada Izzue Islam, Sara Ali dan Atu dari kumpulan Zero.

Sinopsis Oh My English: Villa Isabellaaa!

Kisah Oh My English: Villa Isabellaaa! bermula di mana para pelajar kelas 4 Merah dan Mr. Henry Middleton berhasrat untuk melawat See Yew Soon selepas berita pemergian mendadak See Yew Soon ke Singapura di dalam episod kemuncak Musim ke-3.

Atas dasar semangat setia kawan, Mr. Henry Middleton bersama Jibam, Jojie, Zack dan Mazlee serta ditemani Cikgu Bedah, Aiman dan Sarjan bin Mejar membuat keputusan untuk melawat See Yew Soon.

Mereka kemudiannya memulakan perjalanan dengan menaiki sebuah van. Malang menimpa apabila van yang mereka naiki pancit dan mereka terkandas di kawasan yang asing.

Lantas, mereka menyelusuri hutan dan menempuh perjalanan yang jauh untuk mencari bantuan, tetapi gagal.

Sebaliknya mereka menemui Villa Isabella, sebuah rumah terpinggir yang dihuni sendirian oleh Puan Tiana, seorang wanita misteri yang sering berpakaian merah. Puan Tiana menjemput mereka menginap di rumahnya pada malam tersebut. Namun, pelbagai persoalan timbul tatkala beberapa kejadian aneh berlaku pada mereka.

Keberanian mengajar Jojie erti persangkaan. Dia mahu mencari kebenaran. Dia membongkar pelbagai petunjuk membuktikan Puan Tiana tidak seperti yang dijangkakan. Akhirnya rahsia yang tersembunyi di Villa Isabella muncul sedikit demi sedikit menyebabkan rakan-rakannya sudah mula mempercayainya Jojie dan syak wasangkanya.

Pastikan anda tidak ketinggalan untuk menonton telefilem Oh My English: Villa Isabellaaa! yang akan disiarkan pada 27 Disember 2014, jam 9 malam secara eksklusif di Astro TVIQ (Saluran 610) dan siaran serentak di Astro Maya HD (Saluran 135).

Layari laman rasmi Oh My English! di www.ohmyenglish.com.my untuk maklumat lanjut atau mempelajari Bahasa Inggeris menerusi permainan-permainan interaktif dan kandungan-kandungan lain.